KISAH PELAJAR CEMERLANG - AZALI AZLAN



Cuba bayangkan bagaimana seorang pelajar boleh memperoleh 21A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2007. Adakah dia mengulang kaji pelajaran berjam-jam setiap hari tanpa sebarang kegiatan riadah seperti anak muda lain yang gemar bersukan ?.

Menurut Azali yang memperolehI 20 1A dan satu 2A, beliau mengambil 21 mata pelajaran bukan untuk memecahkan rekod, sebaliknya melakukan untuk kepuasan diri sendiri.

“Tujuan asal saya bukan untuk mengatasi mana-mana rekod, tapi saya buat untuk diri sendiri serta cikgu. Bagi saya, jika buat semata-mata untuk memecahkan rekod, ia tidak memberi apa-apa makna. Ini sebagai hadiah kepada semua guru saya,” kata Azali Azlan.

Ketika membuat keputusan mengambil  21 mata pelajaran, guru banyak memberi nasihat dengan menerangkan kebaikan dan keburukannya jika mengambil banyak mata pelajaran.

“Cikgu tidak pernah cakap jangan (ambil 21 mata pelajaran), tapi cikgu menjelaskan kebaikan dan keburukannya. Ini kerana mereka bimbang saya tidak boleh menguasai semua mata pelajaran". 

"Namun, saya percaya dengan diri sendiri, Saya percaya pada Tuhan. Alhamdulillah, cikgu banyak membantu. Mereka tolong dapatkan buku teks yang diperlukan. Itu sebab saya katakan ini (kejayaan) bukan untuk diri sendiri tapi untuk guru dan ibu bapa,” kata Azali Azla yang lebih banyak belajar sendiri dengan bantuan guru dan tidak menghadiri tuisyen di luar sekolah.

Selain aktif dalam kegiatan sekolah, beliau juga telah dinobatkan sebagai Tokoh Nilam Kebangsaan 2007. Selain ayah dan ibu iaitu En. Azlan Othman, 51, dan Pn. Rozita Sanapi, 46, sebagai pendorong utama, kakak sulung Azali yang ketika itu melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di Cook Universiti, Ireland juga merupakan insan yang sentiasa memberikan dorongan yang kuat untuk Azali berjaya.

APAKAH RESIPI KEJAYAAN AZALI

“Saya belajar dengan sabar. Bagi saya dalam perjuangan mesti ada dugaan dan cabaran daripada Allah, jadi sebagai pelajar Islam adalah perlu bagi saya untuk sabar dengan dugaan kerana setiap kesusahan itu ada kesenangan.”

“Cuma ketika musim peperiksaan, pengetua menyarankan saya makan kurma, minum madu dan susu, malah sebagai persediaan menghadapi peperiksaan saya berpuasa dari hari pertama peperiksaan hingga hari terakhir.Bagi saya, itu usaha terakhir yang boleh dilakukan selepas berusaha,” katanya Azali yang bercita-cita menjadi seorang profesor.

Azali juga mengakui pernah berputus asa, bagaimanapun menganggapnya sebagai satu dugaan yang perlu dihadapi sebelum mencapai kejayaan yang diingini.

“Pernah juga rasa tak boleh menguasai (mata pelajaran). Itulah dugaan yang saya alami sebenarnya. Untuk pulihkan keyakinan saya jumpa kaunselor, selain berbincang dengan ayah dan keluarga. Mereka banyak bagi kekuatan untuk saya. Biasanya ayah akan nasihatkan saya supaya melakukannya selagi ia bukan satu dosa. Kemudian, saya akan cuba bina keyakinan diri untuk meneruskan usaha,”